Wednesday, March 11, 2009

SALAM PENGENALAN DI KOLUM ABS CERGAS, MAJALAH ARENA BOLASEPAK


Majalah Arena Bolasepak, keluaran 15 Januari 2009


Salam sejahtera kepada semua pembaca majalah bolasepak nombor 1 di Malaysia iaitu Arena Bolasepak (ABS). Baru-baru ini saya telah berbincang dengan editor ABS iaitu Saudara Ritchee Rachman yang mahu saya kembali menulis artikel didalam ABS mulai keluaran ini. Kali ini saya akan menulis berkenaan dengan KESIHATAN DAN KECERGASAN dalam bolasepak. Sebelum ini saya juga pernah menulis dikolum klinik terapi untuk keluaran pada tahun sebelum ini.

Untuk perhatian pembaca saya adalah seorang Pakar Kesihatan dan Kecergasan di beberapa pusat kecergasan dan badan sukan tertentu sebagai penasihat dan jururunding kecergasan. Pernah berkhidmat di Unit Terapi Kecergasan, Institut Sukan Negara dibawah seliaan Mr Jorg Taichmen seorang pakar terapi kecergasan daripada Jerman yang telah banyak menunjuk ajar saya dalam berhadapan dengan atlit peringkat dunia.


Selepas itu, saya telah mendapat tawaran bekerja di sektor swasta dalam bidang berkaitan seperti di Celebrity Fitness sebelum mendapat tawaran yang lebih baik di Fitness First. Di sana saya telah menjadi pakar rujuk untuk kes-kes ahli yang menghadapi kecederaan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat dan program rehabilitasi selepas kecederaan.

Sedang saya meniti hirarki posisi di Fitness First, tawaran menjadi Jurulatih Kecergasan merangkap Terapi Sukan untuk pasukan Bolasepak PKNS FC tidak saya lepaskan walaupun dalam masa yang sama mendapat tawaran biasiswa daripada universiti tempatan untuk program pensyarah muda di sebuah universiti di Australia. Sebenarnya memang menjadi idaman saya sejak dahulu lagi untuk bekerja secara langsung dalam industri sukan prestasi tinggi secara professional terutama sukan bolasepak yang sangat saya suka.


Pengalaman bermain bolasepak sehinggat ke peringkat kebangsaan sewaktu zaman persekolahan dahulu sedikit sebanyak membuatkan saya sangat menghargai kerjaya saya ketika itu. Lantaran selepas 1 musim di PKNS FC saya telah berhijrah ke Pasukan Liga Super Selangor sebagai Ketua di Unit Rehabilitasi Sukan. Begitulah serba sedikit latarbelakang saya sebelum saya meneruskan perbincangan kita mengenai kecergasan.



Persoalan utama adalah APAKAH KECERGASAN?



DEFINISI KECERGASAN

Menurut Organisasi Kesihatan Dunia atau ‘World Health Organization’ (WHO) kecergasan adalah ‘kebolehan melakukan sebarang kerja tanpa rasa penat, serta mempunyai cukup tenaga untuk berekreasi dan mempunyai lebihan tenaga untuk melalui peristiwa kecemasan’.

Atau dalam ertikata lain, KECERGASAN juga boleh ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang individu melakukan sebarang perkara melibatkan fizikal atau mental tanpa rasa penat. Sebagai tambahan juga WHO mentafsir kecergasan harus ada elemen aktiviti fizikal melalui senaman atau aktiviti rekreasi. Selain itu, seseorang yang benar-benar cergas harus ada keupayaan untuk berdepan dengan keadaan cemas seperti apabila Amir berhadapan dengan anjing yang sedang marah lalu mengejarnya dan Amir berjaya melepaskan diri daripada anjing tersebut setelah melompat satu batang longkang yang besar tanpa menyedarinya. Contoh ini boleh membuktikan bahawa Amir adalah seorang yang cergas.


Selain itu, saya juga boleh memberi contoh lain menurut takrifan WHO itu bahawa Presiden George W. Bush juga cergas apabila dapat mengelak 2 balingan tepat sepasang kasut oleh seorang wartawan Iraq yang sangat marah kepadanya kerana telah merosakkan Negara bertuahnya. Jika presiden Amerika itu seorang yang cergas sudah pasti beliau menguruskan masa senamannya dengan berkesan walaupun berhadapan dengan jadual yang padat.


Dalam bolasepak pula, contoh terbaik ialah apabila situasi di jatuhkan pihak lawan ketika melompat tinggi untuk menanduk bola. Pada kebiasaannya pemain akan jatuh kebawah dan yang membezakan pemain cergas atau tidak ialah pemain yang tidak cergas sepenuhnya akan jatuh dengan kecederaan yang maksimum manakala pemain yang cergas akan lebih selamat. Ini kerana elemen yang ada dalam kecergasan membantunya untuk bertindak balas melalui titik keseimbangan yang lebih optimum secara optimum.


Justeru, persoalannya ADAKAH ANDA CERGAS?


Bagaimanakah anda tahu tentang kecergasan anda? Atau bagaimana saya ingin tahap kecergasan saya dipertingkatkan? Dan pelbagai lagi persoalan yang timbul berkenaan itu. Lantaran itu, sepanjang musim 24 keluaran seterusnya akan saya rungkaikan satu persatu daripada elemen kecergasan sehingga bagaimana cara senaman yang betul dan proses membuat program kecergasan. Jadi saya harap saudara pembaca sekelian dapat bersama dengan saya sepanjang tempoh tersebut.

Antara topik-topik yang menarik yang akan saya huraikan setiap keluaran mulai keluaran akan datang adalah seperti

- kecergasan fizikal

- kecergasan mental

- komponen-komponen kecergasan

- kecergasan berkaitan kesihatan

- kecergasan berkaitan biomotor (skil @kemahiran)

- kesihatan dan kecergasan

- cara yang efektif untuk memanaskan badan

- regangan dalam sukan dan bolasepak

- latihan kecergasan secara am

- rancangan latihan kecergasan

- latihan kecergasan di padang bolasepak

- latihan kecergasan di kolam renang

- latihan kecergasan di dalam gymnasium

- latihan kecergasan di luar (tasik @ taman-taman rekreasi)

- latihan kecergasan di pasir pantai

- latihan kecergasan sebelum pembedahan

- latihan kecergasan selepas pembedahan tahap 1

- latihan kecergasan selepas pembedahan tahap 2

- latihan kecergasan selepas pembedahan tahap 3

- latihan kecergasan untuk kekuatan bahagian bawah (pinggang ke bawah cnth kaki)

- latihan kecergasan untuk kekuatan bahagian atas (pinggang ke atas cnth perut, pinggang

dan tangan)

- tips ingin menjadi pemain yang cergas dan kuat


Selain itu, melalui Kolum ABS CERGAS juga memberi peluang kepada semua pembaca, untuk bersoal jawab dengan saya mengenai masalah atau apa sahaja persoalan mengenai kesihatan dan kecergasan. Sebarang pertanyaan boleh di email terus kepada saya di abscergas@yahoo.com

No comments:

Post a Comment