KECERGASAN FIZIKAL
Salam sejahtera kepada semua pembaca ABS. Syabas dan tahniah kepada pembaca yang tidak jemu untuk memberikan sokongan kepada sukan bolasepak terutama bolasepak domestik. Sebagai pembuka kata, kecergasan menjadi buah mulut serta perbincangan segenap lapisan daripada perbuaan di kedai-kedai kopi oleh petani, nelayan, pesara dan sebagainya sehingga ke meja-meja di ‘coffee house’ di hotel-hotel sekitar kotaraya. Semuanya gara-gara komen Ketua Jurulatih bolasepak negara En. B. Sathianathan yang memberikan pendedahan ‘tak takut mati’ mengulas mengenai kekalahan pasukan kebangsaan kepada pasukan UAE 0-5 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 21hb Januari yang lalu adalah di sebabkan kecergasan pemain negara yang diragui. Lantaran komennya “Liga M tiada kualiti” perlu dikaji. Namun begitu, sebagai pakar dalam bidang kecergasan saya lebih berminat untuk berbincang mengenai KECERGASAN FIZIKAL.
Kecergasan fizikal merupakan elemen yang sangat penting di dalam menyediakan seseorang atlit terutama pemain bolasepak untuk perlawanan. Selain itu, ia juga berkepentingan dalam mengurangkan risiko untuk mendapat kecederaan. Kajian juga banyak menunjukkan bahawa kebanyakan pemain mendapat kecederaan adalah disebabkan kondisi fizikal yang tidak efisyen. Dari segi prestasi permainan pula dapat dilihat dengan jelas sama ada seseorang pemain itu cergas atau sebaliknya apabila di minit-minit terakhir perlawanan.
Kecergasan pemain-pemain pasukan Manchester United dapat dibuktikan apabila pasukan tersebut sering menjaringkan gol di saat-saat akhir perlawanan. Dan contoh yang paling jelas adalah apabila pemain kebangsaan terkapai-kapai dan bergelumang dengan kecergasan di separuh masa kedua perlawanan menentang UAE tempoh hari. Dan natijahnya pasukan kebangsaan menghadiahkan 3 lagi gol pada separuh masa kedua kepada pasukan UAE.
Pembaca ABS yang budiman, terdapat 2 komponen penting di dalam kecergasan. Antaranya seperti di bawah:
Latihan kecergasan fizikal di gimnasium membantu pemain menjadi lebih cergas serta meningkatkan daya ketahanan.
KOMPONEN KECERGASAN FIZIKAL
1. Kecergasan berkaitan kesihatan (Helath Related Fitness)
Melibatkan beberapa komponen seperti kecergasan kardiovaskular, fleksibiliti, ketahanan otot, kekuatan dan komposisi badan.
2. Kecergasan berkaitan biomotor/ skil.(Biomotor Related Fitness)
Melibatkan komponen seperti keseimbangan, ketangkasan, kordinasi, kelajuan, kesedaran kinestetik, agiliti
Setiap pemain yang mahu dirinya benar-benar cergas haruslah memastikan mereka mengusai kesemua komponen tersebut. Komponen Kecergasan Berkaitan Kesihatan adalah lebih kepada keperluan asas kepada kesihatan yang perlu ada pada setiap individu. Persoalannya bagaimana mahu memastikan anda menguasainya? Jawapannya adalah dengan latihan yang sistematik, bijaksana dan mempunyai pelan latihan yang menyeluruh. Setiap sesi latihan haruslah mempunyai objektif sebagai contoh hari Isnin objektif latihan adalah menguasai komponen fleksibiliti dan pengenalan kepada komponen ketahanan otot. Jadi dengan mengetahui objektifnya, jurulatih akan menyediakan latihan yang berkaitan komponen tersebut seperti untuk menguasai komponen fleksibiliti haruslah melakukan banyak senaman berkaitan regangan dan untuk menguasai komponen ketahanan otot haruslah melakukan aktiviti yang melibatkan fizikal seperti tekan tubi, senaman cangkung ‘squatting’ dan sebagainya.
SOALAN 1
“Saya berumur 27 tahun dan pernah bermain bolasepak untuk pasukan Piala Presiden negeri pada beberapa tahun yang lalu. Kini saya hanya bermain untuk pasukan kelab yang bermain untuk liga dalaman negeri sahaja. Jadi, saya ingin tahu benarkah seperti menurut kebanyakan jurulatih yang saya temui mendakwa latihan bebanan di gymnasium boleh menyebabkan otot saya menjadi keras dan menyebabkan prestasi permainan saya akan merosot?” (Rahman Hassan Namat, BG FC)
JAWAPAN
Sebenarnya dakwaan latihan bebanan di gimnasium menyebabkan otot keras, seterusnya membantutkan seseorang pemain untuk mempamerkan skil seterusnya menjadi kurang lentur pada lenggok permainannya dan menyebabkan prestasi merosot adalah TIDAK BENAR. Dakwaaan tersebut adalah tidak benar dan hanya bersifat populis di kalangan jurulatih-jurulatih tanpa tauliah FAM. Hal tersebut terjadi kerana setiap jurulatih yang menghadiri kursus asas/awalan jurulatih atau kursus Lesen C akan didedahkan tentang skim latihan yang sistematik termasuk mengenai kepentingan latihan bebanan di gimnasium.
Saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut kerana ramai pemain bolasepak masih lagi keliru tentang isu itu dan hasilnya mereka menjadi ragu-ragu untuk ke gimnasium. Natijahnya, mereka tidak cukup cergas kerana mengabaikan salah satu komponen penting dalam kecergasan iaitu ketahanan otot. Latihan di gimnasium akan membantu pemain menjadi lebih cergas dengan ketahan otot yang mereka miliki. Pemain yang melakukan senaman bebanan di gimnasium didapati lebih sukar mengalami kecederaan berbanding mereka yang tidak ke gimnasium.
Latihan di gimnasium bukan sahaja membantu pemain menjadi lebih cergas malah ia akan meningkatkan lagi keupayaan mental. Hal tersebut kerana pemain akan lebih yakin dengan diri mereka kerana telah membuat persediaan yang cukup dari sudut fizikal.
Oleh yang demikian saya menasihatkan saudara Rahman Hassan supaya melakukan latihan digimnasium dan usah ragu-ragu mengenai hal tersebut kerana ia boleh membantu saudara untuk menjadi lebih cergas.
SOALAN 2
“Saya ingin tahu bolehkah saya melakukan latihan bebanan di gimnasium pada 1 hari sebelum perlawanan atau pagi hari perlawanan? (Joe, SA United)
JAWAPAN
Latihan bebanan di gimnasium adalah sangat tidak sesuai dilakukan pada 1 hari menjelang hari perlawanan apatah lagi pada pagi hari perlawanan. Hal tersebut kerana setiap kali saudara Joe melakukan latihan bebanan beberapa perubahan pada struktur otot dan perubahan fisiologi akan berlaku. Otot terdiri daripada beribu serat (fiber) yang secara berkumpulan dipanggil ‘bundle of fiber’ yang akan terikat diantara satu dengan lain yang akhirnya menjadi otot.
Setiap latihan bebanan akan menjurus pada setiap otot sebagai contoh saudara Amirulhadi Zainal seperti dalam gambar melakukan senaman ‘Leg Extension’. Senaman tersebut adalah untuk menguatkan otot peha depan (Quadriceps). Sekiranya saudara Joe melakukan senaman tersebut haruslah bersesuaian dengan berat bebanannya. Serat otot (fiber) akan mengalami kekoyakan kerana bebanan yang tidak tertampung. Justeru, otot tersebut akan menghantar impuls ke otak yang ia memerlukan tambahan fiber dan akhirnya otak akan memberi maklumbalas supaya fiber ditambah ke otot tersebut. Dan akhirnya dalam masa 12-24 jam jumlah serat di otot akan bertambah dan otot akan menjadi lebih besar. Sebab itu, kebiasaannya pemain akan mengalami sedikit ketegangan pada otot tersebut pada keesokan hari selepas melakukan latihan di gimnasium.
Oleh yang demikian, adalah tidak digalakkan untuk melakukan latihan bebanan pada sehari sebelum perlawanan mahupun pada pagi hari perlawanan.
No comments:
Post a Comment